Personalities: Mohd Arif Jaafar, Pemangku Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd

Personalities: Mohd Arif Jaafar, Pemangku Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd

FlyKLIA kini memperkenalkan satu kategori baharu yang dipanggil Personalities, di mana kami akan memperkenalkan tokoh-tokoh daripada kalangan komuniti kami yang memberikan inspirasi. Kami memperkenalkan En Mohd Arif Jaafar untuk artikel ini. Beliau merupakan seorang yang penting yang bertanggungjawab untuk menambah baik persekitaran KLIA. Kami telah mengemukakan beberapa soalan kepada En Mohd Arif Jaafar, dan berikut adalah jawapan beliau:

Apakah peranan anda di KLIA?

Saya merupakan Pemangku Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd. Tugas utama saya adalah untuk mengendalikan operasi terminal di KLIA selaku pintu masuk utama untuk ke Malaysia.

Bagaimanakah tugas tersebut berkait dengan menangani situasi COVID-19 buat masa ini?

Sebagai pintu masuk utama negara, kami perlu mendidik dan memastikan orang ramai mengamalkan garis panduan baharu di sekitar lapangan terbang. Para pengurus lapangan terbang juga telah mengambil langkah agar mekanisme keselamatan pengawalan COVID-19 ini berkesan. Kami bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuk syarikat penerbangan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja, serta pihak-pihak lain yang berkenaan.

Saya juga merupakan pengerusi Jawatankuasa KUL COVID-19. Jawatankuasa ini bermesyuarat setiap minggu sejak Januari 2020 untuk membincangkan dan menyusun strategi bagi segala langkah pembendungan COVID-19 dan pelan tindakan yang diperlukan. Ini secara langsung berkait dengan kesemua operasi lapangan terbang kami, kerana kami sebagai pengurus lapangan terbang perlu memenuhi syarat-syarat baharu yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia (Majlis Keselamatan Negara) untuk memastikan syarat-syarat khusus diikuti dan memastikan kesihatan orang ramai terjamin. Ini merangkumi pengurusan orang awam, proses dan teknologi yang diperlukan untuk menangani norma baharu ini. Kami perlu menyemai keyakinan terhadap perjalanan udara, sebagai langkah untuk meningkatkan perkembangan ekonomi kita selepas PKP.

Apakah langkah-langkah pembendungan di lapangan terbang antarabangsa, terutamanya di KLIA? Adakah terdapat perbezaan antara langkah-langkah pembendungan tempatan/domestik dan luar negara/antarabangsa?

Langkah-langkah pembendungan di KLIA merangkumi:

  • Saringan kesihatan untuk para penumpang
  • Pembersihan dan nyahkuman ke atas titik sentuhan kritikal
  • Pelaksanaan penjarakan sosial
  • Penggunaan peralatan perlindungan dan kebersihan
  • Pelaksanaan langkah-langkah perlindungan untuk kakitangan
  • Berkomunikasi dan memberi kesedaran kepada orang ramai
  • Penyediaan pelan pemindahan kecemasan

Buat masa ini, langkah pembendungan yang berbeza antara domestik dan antarabangsa hanyalah saringan kesihatan ke atas para penumpang yang tiba dari luar negara. Pengurus lapangan terbang bekerjasama dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan, Kastam dan Imigresen untuk mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara mengenai langkah-langkah pembendungan yang melibatkan ketibaan dari luar negara.

Saringan Kesihatan
  • Saringan suhu badan dengan menggunakan alat pengimbas haba apabila masuk dan keluar (Ketibaan & Pelepasan Antarabangsa).
  • Pelaksanaan saringan kesihatan dan pendaftaran di premis perniagaan.
  • Saringan COVID oleh Kementerian Kesihatan – untuk rakyat Malaysia sahaja.
Pembersihan dan Nyahkuman
  • Meningkatkan aktiviti-aktiviti pembersihan dan nyahkuman pada semua permukaan yang kerap disentuh (rel tangan, troli, kaunter, dll.).
Penjarakan Sosial
  • Penjarakan sosial di semua kawasan berisiko.
  • Penanda jarak di lantai, pengumuman yang kerap dan paparan notis untuk menguatkuasakan penjarakan social.
  • Penyusunan semula semua kemudahan untuk melaksanakan penjarakan sosial (tempat duduk di terminal, premis perniagaan dan makanan, dll.).
Peralatan Perlindungan dan Kebersihan
  • Penguatkuasaan pemakaian topeng muka di terminal.
  • Penyediaan cecair nyahkuman di semua kawasan berisiko: semua pintu masuk dan kawasan awam di terminal (MAHB), premis perniagaan dan makanan (Pengusaha), kaunter daftar masuk (Syarikat Penerbangan), Kaunter Imigresen (Imigresen), dll.
Langkah-langkah berkenaan dengan kakitangan
  • Penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE: topeng muka, sarung tangan, pelindung muka, dll.) berdasarkan jenis tugasan (disediakan agensi masing-masing).
  • Stesen cecair nyahkuman di kawasan pejabat (disediakan agensi masing-masing).
  • Saringan suhu badan di pintu masuk pejabat dan premis perniagaan (disediakan agensi masing-masing).
  • Mengurangkan pemeriksaan “hand-search” oleh pihak Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dengan menggunakan alat saringan mudah alih.
Komunikasi dan Kesedaran
  • Pengumuman yang kerap di terminal (penjarakan sosial, perkara-perkara yang patut dan tidak patut dilakukan).
  • Notis fizikal dan digital.
  • Komunikasi Awam melalui media arus perdana dan media sosial.
  • Komunikasi dalaman untuk kakitangan dan pihak-pihak berkepentingan melalui e-mel dan persidangan jawatankuasa mingguan.
Pemindahan Kecemasan
  • Semua pintu kecemasan perlu sentiasa sedia untuk digunakan semasa kecemasan.
  • AVSEC akan mengarahkan orang ramai untuk bergerak ke tapak berkumpul terdekat.
  • Mengekalkan penjarakan sosial semasa proses pemindahan dan juga di tapak berkumpul.

Apakah pemerhatian anda terhadap situasi, sebelum dan selepas COVID-19?

Situasi

Antara pemerhatian saya sebelum dan selepas COVID-19 adalah:

  • Tabiat berbelanja untuk kos operasi (selepas COVID-19, syarikat akan menelitiperbelanjaan dengan terperinci).
  • Norma baharu akan memberikan kesan kepada budaya kerja termasuklah bekerja dari rumah (WFH) dan pengasingan tenaga kerja untuk memastikan keselamatan kakitangan; mesyuarat diadakan secara dalam talian.
  • Tujuan perjalanan; berkemungkinan besar, pertimbangan untuk perjalanan akan dibuat berdasarkan keperluan.
  • Perubahan operasi akan melibatkan tenaga kerja, proses dan teknologi, termasuklah mengoptimumkan tenaga kerja, perubahan proses untuk pematuhan piawaian global dan syarat-syarat kerajaan tempatan, manakala teknologi akan merangkumi pelaksanaan teknologi tanpa kontak (contactless).
  • Norma baharu akan mewujudkan peluang untuk keperluan operasi baharu yang mungkin melibatkan kemudahan tanpa kontak pada kemudahan awam seperti lapangan terbang; kaedah penyelesaian baharu akan muncul untuk menyokong norma baharu. Saya amat menantikan lebih banyak inovasi untuk memudahkan operasi lapangan terbang.
Kehidupan peribadi anda
  • Bagi kehidupan peribadi saya, COVID-19 telah mempengaruhi tabiat berbelanja saya: kebanyakan perbelanjaan saya dilakukan melalui e-dagang berbanding dengan pembelian fizikal seperti sebelum ini.
  • Meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga terdekat, dan tiada perjumpaan sosial dengan saudara-mara yang lain atau dengan rakan-rakan.
  • Interaksi dengan saudara-mara yang lain kini hanya dilakukan dalam talian atau melalui media sosial sahaja.

Apakah nasihat anda kepada penumpang?

  • Kami ingin menasihati para penumpang supaya menerima pelaksanaan norma baharu ini dan mematuhinya dengan terperinci demi keselamatan semua orang.
  • Para penumpang dinasihati supaya mengikuti arahan daripada syarikat penerbangan masing-masing serta pihak berkuasa.
  • Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para penumpang supaya berada di lapangan terbang tiga jam sebelum waktu pelepasan bagi memberi masa untuk proses saringan tambahan yang sedang dilaksanakan seiring dengan norma baharu ini.
  • Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan, terutamanya semua agensi kerajaan yang terlibat kerana memberi sokongan dan mengawal penularan COVID-19 dengan cekap.
  • Saya ingin meminta semua orang berganding bahu untuk menghalang COVID-19 daripada merebak; “KEKAL SELAMAT”.
  • Bersedialah untuk keadaan pasca pandemik ini.

Your Gateways to Getaways,
FlyKLIA

Facebook Comments

Written by FlyKLIA

Your Gateways To Getaways. Get inspired to travel the world, share exciting travel stories and be rewarded for being a part of Malaysia’s Largest Travellers Community.